TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT) DALAM PENDIDIKAN DAN
KEPENTINGANNYA
PENGENALAN
Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
dikenal pasti sebagai salah satu faktor penting yang membantu pencapaian
matlamat Pembangunan Pendidikan 2001–2010. Kepesatan kemajuan ICT menjadi
cabaran kepada negara untuk menyediakan sumber tenaga manusia yang
berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang ICT. Bagi menerajui usaha
menyediakan sumber tenaga manusia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu
menyediakan keperluan fizikal dan bukan fizikal untuk membolehkan penggunaan
ICT sebagai alat pengupaya (enabling tool) pada semua peringkat organisasi
pendidikan. Penggunaan ICT juga berpotensi membawa perubahan dan pembaharuan
kepada sistem pendidikan ke arah memartabatkan pendidikan negara pada peringkat
antarabangsa.
ICT adalah sistem yang membolehkan
pengumpulan, pengurusan, manipulasi, perolehan, dan komunikasi maklumat dalam
pelbagai bentuk. ICT dalam pendidikan bermaksud penggunaan teknologi maklumat
dan komunikasi yang menyokong proses teras dalam pengurusan dan pentadbiran
pendidikan, pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta pendidikan sepanjang
hayat. Penggunaan ICT dalam P&P membolehkan aktiviti P&P dijalankan
tanpa kekangan tempat dan masa, meningkatkan penggunaan sumber pendidikan,
dan berupaya meningkatkan kualiti
pendidikan di samping mempercepat proses pendidikan berdasarkan kadar kebolehan
pelajar.
KPM telah menggariskan tiga dasar utama ICT
dalam pendidikan:
1) Dasar pertama adalah literasi ICT untuk
semua pelajar, bermaksud pelajar memperoleh kemahiran menggunakan kemudahan
ICT.
2)Dasar kedua mengutamakan peranan dan
fungsi ICT dalam pendidikan sebagai kurikulum dan alat P&P. ICT sebagai
kurikulum bermaksud pelajar mempelajari ICT sebagai mata pelajaran seperti mata
pelajaran Teknologi Maklumat bagi peringkat SPM dan mata pelajaran
Pengkomputeran bagi peringkat STPM. ICT sebagai alat P&P bermaksud
menggunakan kemudahan ICT dalam P&P seperti penggunaan perisian kursus
(courseware), internet, dan aplikasi generik yang lain (contohnya, perisian CAD
dalam mata pelajaran Reka Cipta dan Lukisan Kejuruteraan).
3) Dasar ketiga menekankan penggunaan ICT
untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan, dan keberkesanan sistem pengurusan.
Ini terhasil daripada pengautomasian pejabat dan pelaksanaan sistem aplikasi
pengurusan yang membawa kepada penambahbaikan proses kerja.
MATLAMAT PEMBANGUNAN ICT DALAM PENDIDIKAN
2001-2010
Pembangunan ICT
dalam pendidikan bagi 10 tahun akan datang bermatlamat untuk:
1) meningkatkan
pembangunan infrastruktur ICT;
2) memperluas
akses dan ekuiti kepada kemudahan ICT;
3) memperluas
kurikulum berasaskan ICT;
4) meningkatkan
sistem pentaksiran dengan menggunakan ICT;
5) menekankan
pengintegrasian ICT dalam P&P;
6) meningkatkan
pengetahuan dan kemahiran ICT di kalangan pelajar, tenaga pengajar, dan
personel KPM;
7) meningkatkan
penggunaan ICT dalam pengurusan pendidikan;
8) meningkatkan
usaha pengurusan dan penyenggaraan perkakasan ICT;
9) meningkatkan
penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam ICT; dan
10) meningkatkan
kerjasama antara institusi pendidikan dengan masyarakat dalam
11) membantu
memperkembangkan ICT dalam pendidikan.
STATUS PENGGUNAAN
TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI DALAM PENDIDIKAN MENGIKUT PERKEMBANGAN SEMASA
Pembangunan Infrastruktur
ICT
Selaras dengan
perkembangan teknologi semasa, KPM telah membekalkan peralatan pendidikan
berasaskan teknologi seperti radio, televisyen, overhead projector ke sekolah
bagi tujuan membantu proses P&P. KPM juga menyediakan rancangan pendidikan
untuk disiarkan ke sekolah rendah dan menengah melalui Radio dan TV Pendidikan.
Bermula pada tahun 2000, penyiaran rancangan pendidikan melalui TV telah
dipertingkatkan dan diperluas ke sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman
dengan menggunakan teknologi satelit.
Pada awal tahun 1990-an, KPM telah
melaksanakan beberapa projek pendidikan yang berasaskan ICT dan pembekalan
komputer sebagai aktiviti utama dalam penyediaan infrastruktur ICT. Pada tahun
1992, sebanyak 60 buah sekolah menengah luar bandar telah dibekalkan dengan 20
set komputer untuk pelajar dan satu set komputer untuk guru bagi setiap buah
sekolah.
Pada tahun 1994, KPM telah melancarkan
Projek Rintis Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer bagi mata pelajaran
Bahasa Inggeris dan Matematik di 15 buah sekolah rendah luar bandar di negeri
Selangor. Setiap sekolah dibekalkan dengan 21 set komputer dan perisian kursus
pendidikan yang disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK). Pada tahun
1996, penyediaan infrastruktur ICT diperluas kepada 209 buah sekolah menengah
dan 20 buah sekolah rendah. Sekolah-sekolah menengah ini dibekalkan dengan 20
set komputer dengan satu pelayan (server) untuk Persekitaran Rangkaian Setempat
(Local Area Network-LAN) tanpa kemudahan internet sementara di sekolah rendah
komputer yang dibekalkan tidak dirangkaikan. Antara tahun 1999 hingga 2000,
sebanyak 222 buah sekolah rendah dan 110 buah sekolah menengah di seluruh
negara telah dibekalkan sebanyak 10 set komputer bagi setiap buah sekolah.
Dalam memperkenalkan komputer sebagai alat
dalam proses P&P bagi program Komputer Dalam Pendidikan (KDP), komputer
yang dibekalkan ke sekolah rendah dan menengah pada peringkat awal pelaksanaan
adalah di bawah peruntukan projek-projek khas. Bagi tempoh masa 1999 hingga 2000,
komputer yang dibekalkan adalah komputer multimedia jenis Pentium III yang
disewa daripada MIMOS atau melalui tender terbuka untuk Sabah dan Sarawak.
Komputer tersebut ditempatkan di bilik darjah yang diubah suai menjadi makmal
komputer.
Pada tahun 2000, Projek Penyediaan
Infrastruktur Fizikal dan Pengkomputeran Sekolah Rendah dan Menengah (Projek
Pengkomputeran) diperkenalkan di 2418 buah sekolah rendah dan menengah secara
berperingkat-peringkat dengan mendahulukan sekolah yang mempunyai enrolmen melebihi
150 dan mempunyai bekalan elektrik. Makmal komputer dilengkapi dengan komputer
terkini berserta kemudahan LAN dan internet. Sekolah-sekolah ini dibekalkan
perkakasan komputer mengikut kriteria yang ditetapkan seperti berikut:
1) enrolmen kurang 400 mendapat 10 komputer,
1 makmal komputer, dan 1 server;
2) enrolmen 400-800 mendapat 20 komputer, 1
makmal komputer, 1 server, dan 1 projektor LCD; dan
3) enrolmen melebihi 800 mendapat 40
komputer, 2 makmal komputer, 2 server, dan 1 projektor LCD.
Sehingga akhir tahun 2000, sebanyak 18 buah
sekolah (12 buah sekolah rendah dan 6 buah sekolah menengah) telah dilengkapi
dengan peralatan ICT.
Projek-projek ICT dalam pendidikan yang
telah dilaksanakan adalah pemangkin kepada usaha ke arah e-pembelajaran. Selain
menambah sumber tenaga manusia terlatih, projek-projek ini juga dapat
meningkatkan penggunaan dan pengintegrasian ICT dalam P&P.
Projek Rintis Sekolah Bestari telah
dimulakan pada tahun 1999 dengan mencadangkan penyediaan persekitaran ICT yang
dinamik, fleksibel, dan terkini bagi lima buah sekolah rendah dan 85 buah
sekolah menengah. Sehingga tahun 2000, sebanyak 87 buah sekolah (4 buah sekolah
rendah dan 83 buah sekolah menengah) telah dilengkapi dengan kemudahan ICT.
Penyelesaian Bersepadu Sekolah Bestari dalam
projek rintis ini melibatkan komponen bahan P&P elektronik, pengkomputeran
Sistem Pengurusan Sekolah Bestari, penggunaan perkakasan ICT, rangkaian
setempat, dan Wide Area Network (WAN ). Dari segi penggunaan ICT sebagai
pengupaya pedagogi dan pengurusan sekolah, tiga aras teknologi diperkenalkan
dalam projek rintis, iaitu aras A (model bilik darjah), B+ (model bilik darjah
terhad), dan B (model makmal komputer). Jadual 8.2 menunjukkan pengagihan
perkakasan ICT bagi ketiga-tiga aras teknologi.
Akses dan Ekuiti kepada Kemudahan ICT
Akses kepada kemudahan ICT di sekolah rendah
dan menengah masih rendah. Sehingga tahun 2000, perkakasan komputer hanya
dibekalkan kepada 257 buah sekolah rendah dan 379 buah sekolah menengah (tidak
termasuk Sekolah Bestari dan sekolah dalam Projek Pengkomputeran). Kebanyakan
sekolah yang menerima bekalan komputer terletak di kawasan luar bandar serta
mempunyai bekalan elektrik dan talian telefon. Kemudahan ICT juga akan
diperluas ke sekolah rendah dan menengah pendidikan khas.
Pengetahuan dan Kemahiran ICT Serta
Pengintegrasian ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran
1) Pelajar
Perakuan dalam Smart School Conceptual
Blueprint menjadi panduan kepada pelaksanaan P&P bestari. Tumpuan diberikan
kepada aplikasi ilmu dalam kehidupan sebenar, mereka cipta dan berinovasi,
serta berinteraksi dengan pihak luar. P&P dalam bilik darjah perlu
menterjemahkan konsep meaningful and thoughtful learning, dan 4S, iaitu
self-paced, self-taught, self-access, dan self-directed.
Terdapat dua pendekatan P&P ICT iaitu
belajar tentang ICT dan belajar dengan ICT. Pendekatan belajar tentang ICT
bertujuan untuk menyediakan pengetahuan tentang asas ICT dan membolehkan
pelajar menjadi penyumbang kepada pembangunan teknologi ICT. Manakala pendekatan
belajar dengan ICT bertujuan menyediakan pelajar dengan ilmu yang membolehkan
mereka menjadi pengguna yang berkesan. Kedua–dua pendekatan tersebut telah
diserapkan melalui dua mata pelajaran iaitu Teknologi Maklumat dan
Pengkomputeran.
Matlamat mata pelajaran Teknologi Maklumat
pada peringkat SPM adalah bagi membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan dan
kemahiran seperti berikut:
1) mengkaji, mengguna, dan memahami sistem
dan persekitaran yang berkaitan dengan IT;
2) membina pengetahuan tentang prinsip dan
proses IT;
3) mengenal pasti serta meneroka keperluan
dan peluang yang boleh ditangani melalui IT;
4) menjana idea bagi memajukan teknologi
berkaitan dengan keperluan yang dikenal pasti;
5) mengguna IT dengan berkesan untuk
berkomunikasi dan menyelesaikan masalah;
6) menyedari implikasi penggunaan IT
terhadap masyarakat dan keperluan harian; dan
menghargai kepentingan dan sumbangan IT
dalam memajukan masyarakat.
Objektif Sukatan Pelajaran Pengkomputeran
dalam STPM adalah untuk membina kebolehan pelajar:
1) merumuskan penyelesaian masalah dengan
menggunakan alat matematik (data dan proses) yang dapat diterapkan dalam
komputer;
2) memahami prinsip dan teknik reka bentuk
algorithma dan struktur data serta membina atur cara untuk menyelesaikan
masalah dengan menggunakan komputer;
3) mengenal komponen dan seni bina logik
sistem komputer berdigit;
4) menggunakan perisian komputer yang sesuai
untuk menyelesaikan masalah; dan
memahami prinsip penggunaan teknologi
maklumat dan kesannya dalam mengurus pembangunan ekonomi masyarakat majmuk.
Selain itu, penubuhan universiti seperti
Multimedia University serta pewujudan pelbagai fakulti baru dan program yang
berteraskan ICT di universiti awam dan IPTS menunjukkan penekanan kepada
pengetahuan dan kemahiran yang perlu ada pada lulusan bidang ICT. Pada akhir
program, lulusan ICT secara keseluruhannya dapat memperoleh pengetahuan,
memproses, dan menggunakan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah dan menjana
pengetahuan baru.
Selain pengetahuan dan kemahiran ICT, KPM
juga menyediakan pelajar untuk menghayati nilai yang sesuai dengan pembentukan
k-insan. Pelajar perlulah memahami dan menghayati nilai moral, etika, budaya,
dan agama dalam organisasi dan masyarakat, mempunyai falsafah dan prinsip hidup
yang kukuh, mempunyai niat untuk membawa kebaikan kepada alam sejagat, dan
mempunyai ketahanan rohani menempuh kepayahan dan cubaan.
Latihan dalam ICT untuk Tenaga Pengajar
Pada awal tahun 1990-an, KPM melaksanakan
program latihan pra-perkhidmatan dalam ICT kepada guru pelatih di maktab
perguruan bagi Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM). Kandungan latihan
pra-perkhidmatan dalam ICT yang wajib diambil oleh semua pelatih dalam mata
pelajaran Teknologi Maklumat mengandungi elemen ICT seperti berikut:
1) pengenalan kepada kemahiran asas yang
merangkumi pemprosesan perkataan, hamparan elektronik, persembahan elektronik,
pangkalan data serta rangkaian komputer, dan internet;
2) teknologi maklumat dalam P&P;
3) pengajaran pembelajaran berbantu
komputer;
4) multimedia dalam pendidikan; dan
kemahiran IT diaplikasikan dalam pedagogi
mata pelajaran pengkhususan pertama dan kedua.
Program latihan praperkhidmatan dalam ICT
bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) mendedahkan guru pelatih kepada ICT
dan kaedah mengintegrasikan ICT dalam proses P&P. Elemen yang terkandung
dalam mata pelajaran wajib Teknologi Maklumat termasuk:
1) pengenalan kepada kemahiran asas ICT;
2) pengintegrasian perisian aplikasi dalam
P&P;
3) penghasilan bahan bantu mengajar
menggunakan komputer; dan
4) kemahiran teknologi maklumat
diaplikasikan dalam pedagogi mata pelajaran pengkhususan.
Di samping itu, Kursus Pengajian Teknologi
Maklumat telah diperkenalkan kepada guru pelatih KPLI. Melalui program
pra-perkhidmatan ini seramai 23 340 orang guru mendapat pengetahuan dan
kemahiran asas menggunakan komputer. Elemen ICT yang diberi penekanan adalah:
1) reka bentuk asas komputer (basic computer
architecture);
2) pengenalan kepada kemahiran asas ICT;
3) komunikasi dan internet;
4) strategi dan kaedah P&P berbantukan teknologi
maklumat;
5) pengaturcaraan (programming);
6) alat pengarangan (authoring tools);
7) penggunaan dan pengurusan makmal serta
aktiviti teknologi maklumat sekolah; dan
kesan sosioekonomi.
KPM juga melaksanakan program Latihan Dalam
Perkhidmatan (LDP) kepada guru terlatih dalam bidang ICT seperti Kursus Sijil
Perguruan Khas Satu Tahun dalam Teknologi Maklumat, Kursus Dalam Perkhidmatan
14 Minggu dalam Pendidikan Komputer, dan Komputer dalam Pendidikan. Di samping
itu, Kursus Kejurulatihan Komputer, Latihan Guru Sekolah Bestari, dan Asas
Literasi Komputer juga dilaksanakan. Sehingga tahun 2000, hampir 60 000 orang
guru terlatih telah mengikuti program latihan tersebut.
Latihan dalam ICT untuk Personel KPM
Bagi tujuan pengurusan, Bahagian Sistem Maklumat
(BSM) telah melatih personel KPM bagi meningkatkan kemahiran penggunaan
komputer dan pengoperasian aplikasi ICT yang dibina untuk Jabatan dan Bahagian
masing-masing. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP)
memberi latihan secara meluas kepada pegawai JPN, PPB, dan PPD serta guru data
menggunakan komputer dan mengoperasi Sistem Maklumat Pengurusan Pendidikan
(SMPP). Bahagian ini juga melaksanakan program Training of Trainers untuk
melatih pegawai JPN, PPB, dan PPD bagi membolehkan mereka melatih guru data di
tempat masing-masing.
Institut Aminuddin Baki (IAB) menyediakan
latihan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam ICT kepada pentadbir
dan kakitangan sokongan peringkat sekolah. Antara program latihan yang
dijalankan pada masa ini adalah Kursus Literasi Maklumat kepada Guru Besar, Pengetua, dan Penolong
Kanan Sekolah Bestari; Pengurusan Komputer dalam Kursus Kepengetuaan; dan
kursus pendek mengenai kemahiran ICT kepada kakitangan sokongan sekolah.
Program latihan kepada guru sekolah rendah
dan menengah turut dijalankan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) di
Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN)/ Pusat Sumber Pendidikan Negeri
(PSPN), dan Pusat Kegiatan Guru (PKG). Pusat-pusat ini dibekalkan dengan
kemudahan ICT di samping kemudahan teknologi pendidikan yang lain. Pegawai di
pusat-pusat ini memberi khidmat nasihat kepada guru tentang pengintegrasian ICT
dalam P&P. Selain itu, pegawai PSPN dan PKG memberi latihan jangka pendek
kepada guru-guru sekolah rendah dan menengah berkaitan dengan kemahiran asas
komputer, bengkel penyediaan perisian pendidikan, dan penilaian keberkesanan
pengendalian pusat sumber sekolah. PSPN dan PKG juga menyediakan perkhidmatan
pinjaman peralatan teknologi kepada guru. Oleh itu, PSPN dan PKG merupakan
saluran yang berpotensi bagi membantu guru meningkatkan P&P berasaskan ICT
di sekolah.
KEPENTINGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN
KOMUNIKASI (ICT)
Dalam era ledakan maklumat ini, teknologi
maklumat dan komunikasi atau ICT amat penting. Teknologi ini sudah menguasai
global ini dengan berleluasa. Hampir setiap saat orang menggunakan teknologi
ini dan dengan teknologi jugalah menyebabkan kita boleh menguasai dan mengawal
hampir setiap perkara di hujung jari sahaja.
Negara yang tidak mengutamakan ICT akan ketinggalan dalam arus
pembangunan atau umpama katak di bawah tempurung. Kemajuan ICT ini telah
mendatangkan banyak manfaat kepada individu, masyarakat dan negara.
Sesuatu perkara yang dicipta atau diwujudkan
tentu sekali mendatangkan kebaikan serta keburukan. Perkara yang baik tentu
sekali lebih mendatangkan faedah atau kepentingan kepada pengguna. Begitu
jugalah dengan ICT. Kemajuan ICT telah menyumbang dalam meningkatkan pengurusan
dan pentadbiran negara ke arah lebih sistematik dan teratur. Segala urusan baik kerajaan mahupun swasta
dapat dipercepat melalui kemajuan ICT. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan
masa, bahkan tenaga, dan wang kerajaan serta rakyat sendiri. Kegunaan ICT
sememangnya cukup mendewasakan Malaysia.
Pentadbiran negara dan swasta menjadi lebih cepat dan cekap. Dengan itu,
Malaysia akan lebih cepat mencapai wawasannya dan mencipta nama di persada
dunia ini. Sebagai analoginya, kerja pengurusan dokumen, permohonan dan
sebagainya menjadi tepat dan cekap.
Dengan adanya ICT, data dapat diproses dan disimpan dengan segera tanpa
membuang masa. Urusan kewangan melalui mesin teler automatik (ATM) dan Internet
membolehkan kita menguruskan wang kita di seluruh dunia dengan mudah dan
lancar.
Satelit
Jika ditinjau secara lebih mendalam lagi,
ICT bukan sahaja membantu dalam pentadbiran dan pengurusan negara, malah ICT
penting dalam ramalan cuaca dan panduan pelayaran. Jika dahulu, pelayar merujuk
kepada kedudukan bintang di langit untuk dijadikan sebagai “kompas” semasa
belayar. Jika dahulu ada yang
merujuk keadaan langit dan awan untuk
meramal cuaca ataupun mempercayai ramalan ahli nujum. Sekarang, dengan adanya
satelit cuaca, fenomena alam dapat diramal dengan lebih tepat serta terperinci.
Melalui satelit cuaca ini, siri gambar awan dapat diambil dan seterusnya kita
dapat meramalkan keadaan cuaca dunia.
Persediaan awal dapat kita buat untuk
mengelakkan berlakunya kerugian harta benda dan pengorbanan nyawa. Banjir, ribut taufan, tsunami, dan gempa bumi
adalah antara contoh fenomena alam yang tidak dapat tidak kita sebagai manusia
perlu untuk mengawalnya dengan membuat persediaan rapi kerana kita perlu
sediakan payung sebelum hujan. Dengan ramalan fenomena El Nino dan La Nina yang
tepat itu, kita dapat membuat persediaan awal. Sebagai contohnya, sistem
satelit aeronautik (USA) dapat menghubungi kapal terbang yang melintasi Lautan
Atlantik dan Pasifik. Teknologi
komunikasi pelayaran juga penting dalam sistem pengangkutan udara dan laut. Teknologi
ini berfungsi sebagai panduan pelayaran. Sistem Satelit Laut (IMMARISAT) dapat
mengesan kapal-kapal yang menghadapi masalah di samping berfungsi sebagai
panduan.
2) Hubungan
Antarabangsa
Sudah terang lagi bersuluh bahawa ICT
memainkan peranan yang penting kepada dunia. Hal ini dapat dibuktikan apabila
ICT mempercepat hubungan antarabangsa. Dunia seakan-akan menjadi semakin kecil
dengan wujudnya ICT. Kita dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia.
Perkara ini ternyata sekali mengukuhkan ungkapan Dunia Tanpa Sempadan. Kita dapat berhubung dengan sesiapa sahaja
sama ada di laman sembang, e-mail, sistem pesanan ringkas (SMS), Skype dan
sebagainya. Kita juga dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia dengan
menggunakan telefon bimbit.
Bukan itu sahaja, perkembangan semasa yang berlaku di seluruh dunia juga
dapat diikuti dengan serta-merta seperti
siaran langsung konsert artis popular, perlawanan bola sepak dunia dan siaran
berita mutakhir. Acara sukan, persidangan dan sebagainya yang berlangsung di
sesebuah negara seperti di Korea di Jepun mahupun di Amerika Syarikat dapat
dipancarkan ke seluruh dunia secara langsung.
Siaran ini dapat ditonton melalui Internet dan Astro, telefon,
faksimili, televisyen, dan persidangan video bergantung pada ICT untuk
membolehkan kita merasai nikmat ini. Internet dan komputer riba turut berfungsi
melalui teknologi serba canggih ini. Sememangnya ICT merupakan pembuka laluan
yang luas kepada masa depan yang gemilang.
3) Pembelajaran
Berbantukan Komputer
Kewujudan ICT turut membantu dalam sistem
pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di sekolah dimajukan
oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar mendapatkan maklumat
dari seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-projek di
sekolah. Pelajar akan belajar mengikut
kemampuan mereka serta melahirkan generasi yang celik komputer. Pendidikan di
sekolah atau di institusi lebih bercirikan pendidikan jarak jauh. Peluang
pendidikan menjadi lebih luas, selain menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik
IT tidak disekat oleh faktor kelas dan usia. Hal ini melahirkan lebih ramai
cendekiawan.
Fakta ini nyata terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia
setahun jagung sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik
daripada pelajar yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).
Pelajaran di sekolah rendah ataupun pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari
melalui modul pemelajaran yang disediakan dalam cakera padat-ingatan baca
sahaja (CD-ROM) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Sehubungan dengan itu, selain membantu dalam
sistem pendidikan, ICT juga menjadi penyumbang penting dalam menjaga keamanan
dan keselamatan negara. Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara Malaysia
dapat diatasi dengan bantuan ICT. Televisyen litar tertutup (CCTV) banyak
digunakan dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank, kasino, lapangan
terbang, pangkalan terbang, dan pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah
penggunaan kamera video untuk menghantar isyarat ke tempat-tempat tertentu.
Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka, hal ini berbeza sekali
dengan televisyen.
CCTV ini digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat yang
tertentu sahaja. Di samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat dikesan
dan seterusnya memberkas penjenayah yang terbabit. Dengan bantuan CCTV,
akhirnya kanak-kanak yang bernama Nurin ditemui. Kes penculikan kanak-kanak
tersebut pernah menggegarkan seluruh Malaysia.
Kejadian ini tentu sekali kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat
kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati, tetapi dengan
adanya kamera video dapat merakamkan lokasi beg yang terkandung mayat
kanak-kanak tersebut. Dengan CCTV juga, kes disiplin yang berlaku di sekolah
dapat dikawal oleh pihak sekolah.
Bertitik tolak dari itu, kita dapat melihat
bahawa pembangunan negara bergantung pada kemajuan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT). Langkah kerajaan melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC)
sememangnya tepat pada masanya. Sudah tiba masanya untuk negara Malaysia
berjaya di peringkat kebangsaan mahupun serantau. MSC memainkan peranan penting
untuk menjadi pemangkin kemajuan ICT di Malaysia. Untuk menjayakan harapan ini,
semua pihak tidak kira pihak kerajaan ataupun pihak swasta, perlulah berganding
bahu bersama-sama rakyat bagai aur dengan tebing, sehati seia untuk melonjakkan nama negara Malaysia ke
pentas dunia.
KESIMPULAN
Sebagai
kesimpulannya, teknologi ini adalah memberikan banyak kesan terhadap kehidupan
seharian dikalangan masyarakat.
RUJUKAN
Learning skills for
college and life / David Watson with Malia Watson / LB2395 .W37 2001
Teaching study skills and supporting learning / Stella Cottrell / LB2395
.C67 2001
Ten skills you really need to succeed in college / John Langan / LB2395
.L36 2003
Telah Diubah Suai daripada Artikel Sumbangan
Ikhlas A. Razak Ahmad (Dipetik daripada: Pembangunan Pendidikan 2001-2010.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2001)
Porter M. (1985).
Competitive Advantage. New York: Free Press.
Pfeffer, J. (1982). Organization
and Organization Theory. Boston: Pitman.
Brett, P. D., S. W. Johnson, and C. R. T. Bach. 1989. Mastering
String
Quartets. San Francisco: Amati Press.
UNESCO. 1973. The Educational System in Malaysia . Bangkok.
Comments
Post a Comment